Sebuah projek pengubahsuaian di utara Malaysia bertukar menjadi bencana undang-undang yang besar ekoran pelbagai kesilapan dan pelanggaran peraturan OSH (KKP), daripada isu pekerja yang tidak berdaftar sehinggalah insurans yang telah tamat tempoh. Berikut adalah punca kegagalan tersebut dan pengajaran yang perlu diambil perhatian oleh setiap kontraktor.

Kes yang Mengejutkan Para Penyiasat
Seorang usahawan telah membeli bangunan lama 5 tingkat (rumah kedai) di sebuah kawasan yang terpencil di Utara Semenanjung yang tidak dapat siapkan dan projek itu telah diabaikan lebih 3 tahun.
Seorang kontraktor telah dilantik untuk skop kerja pembaikian sebuah bangunan lama, memperbetulkan struktur, memperbaiki, menyelenggara, meruntuhkan struktur lama dan digantikan dengan yang baru dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Sebuah keluarga mengadu kepada pihak berwajib mengenai salah seorang ahli keluarga mereka mengalami kecederaan parah melibatkan tulang kakinya patah kerana terjatuh dari tempat tinggi.
Maka pihak berwajib terdiri dari JKKP, PBT dan Imigresen bersama 2 orang panel perunding kejuruteraan dan pengurusan risiko yang dilantik telah menyerbu projek berkenaan dan pemeriksaan rapi telah dilakukan.
Mangsa dilaporkan dihantar ke hospital dengan punca kecederaannya dipalsukan oleh majikannya.
1. Tiada pengenalpastian risiko atau langkah kawalan yang betul
Kontraktor tidak mengambilkira aktiviti mengenalpasti, mencegah, mengawal dan menilai risiko walhal risiko projek berkenaan amatlah tinggi. Ini jelas di lihat dalam penjadualan projek, program kerja dan arasnya(milestone/schedule/work program).
2. Pelan dan Lukisan yang Tidak Diluluskan
Walaupun survey (ukur tanah) dijalankan oleh jurukur bertauliah tetapi semua lukisan/pelan didapati tidak ditandatangani oleh pihak PBT dan jurutera professional.
3. Kerja-kerja Robohan Tanpa Lesen
Kerja-kerja pemindahan dan meruntuhkan struktur yang tidak diperlukan telah dilakukan oleh sab-kontraktor yang tidak bertauliah dan tidak berlesen.
4. Penghadang Tapak yang Lemah / Tidak Kukuh
Pengadang dan hoarding yang digunakan hanyalah diperbuat dari kayu dan plywood. Tiada sebarang papan tanda yang menunjukkan projek sedang dijalankan kecuali notis yang ditampal di pondok pengawal.
5. Tiada Pendaftaran JKKP
Projek berkenaan didapati tidak berdaftar dengan JKKP dan PBTR pendaftaran hanyalah dengan CIDB sebagai kontraktor G5 dengan hanya 3 orang yang memiliki kad hijau yang bertret “PENGURUSAN’ sahaja.
6. Penyelia Tapak yang Tidak Kompeten
Hanya seorang penyelia dilantik selaku pegawai keselamatan dan penyelia berkenaan didapati tidak pernah menyertai kursus NIOSH walaupun berkelulusan kejuruteraan sebuah IPTA. Malah penyelia itu tidak berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia atau Institut Jurutera Malaysia.
7. Tiada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan
Tiada jawatankuasa keselamatan walaupun mempunyai kakitangan dan pekerja hampir 70 orang.
8. Insurans Tamat Tempoh dan Tiada Caruman PERKESO
Bukan semua pekerja diinsurankan dan tidak membuat caruman PERKESO. Begitu juga dengan sab-kontraktor. Semasa pemeriksaan, didapati insuran projek telah luput. Hanya kakitangan eksekutif sehingga peringkat pengurusan tertinggi, dan jentera sahaja diinsurankan.
9. Senarai Semak Keselamatan yang Tidak Relevan
Senarai semak (checklist) yang digunakan adalah lebih kepada tret sivil dan tidak menyentuh mengenai KKPA malah langsung tidak ada senarai semak KKPA.
10. Jaring Keselamatan dan Platform yang Rosak / Cacat
Pelantar Penangkap (catch platform) dan jaring keselamatan hanya dipasang di tingkat 1, malah pelantar dan jaring keselamatan didapati bocor.
11. Penginapan Pekerja yang Daif / Tidak Sempurna
Kuarters Pekerja tidak ada pelan. Keadaan pekerja yang rata-rata pendatang asing tanpa izin (PATI) sangat dhaif. Makanan dan minuman mereka juga tidak terjaga – tidak ditudung malah lalat berterbangan mengharungi sisa makanan yang dibuang tidak jauh dari kuarters berkenaan. Tandas yang disediakan hanyalah tandas kayu yang disiapkan di luar kuarters pekerja dan airnya ditadah di dalam baldi di mana sumbernya dari pili air tandas awam di luar. Terdapat banyak kesan pembakaran terbuka telah dilakukan.
12. Laluan Masuk Tapak yang Tidak Selamat
Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati beberapa orang kanak-kanak dari kampung berdekatan sedang bermain-main di kawasan tapak pembinaan.
13. Salah Guna PPE (Kelengkapan Perlindungan Diri)
Sesetengah pekerja memakai topi dan tali pinggang keselamatan tetapi ramai yang memakai PPE yang tidak mengikut spesifikasi di samping tidak kurang yang berselipar.
14. Perancah (Scaffolding) yang Tidak Selamat
Tiga Perancah juga didapati banyak kerosakan antara lain, tidak cukup tetulang, toe board dan cat walk tidak dipasang dengan betul, nat juga didapati banyak yang hilang. Pemeriksaan selanjutnya menunjukkan bahawa perancah itu pernah digunakan oleh kontraktor dalam lebih 5 projek lain serta tidak pernah ditukar.
15. Fail Projek yang Tidak Lengkap
Diari tapak Pengurus Projek juga tidak lengkap. Walaupun terdapat mesyuarat peralatan (Tool Box Meeting) namun, minit mesyuarat tidak menyentuh mengenai KKPA dan tiada rekod induksi yang pernah dijalankan ke atas pekerja.
16. Kemalangan Terdahulu yang Tidak Dilaporkan
Terdapat insiden kecederaan semasa kerja-kerja awalan dilakukan tetapi tidak dilaporkan atau dikendalikan dengan sempurna.
17. Penyimpanan bahan yang lemah / tidak teratur
Bahan-bahan pembinaan seperti simen, besi, kayu, batu-bata, pasir dan lain-lain didapati terdedah di dalam tempat simpanan (stor) yang telah bocor atapnya. Aturan beg-beg simen juga didapati bertaburan. Sesetengah simen didapati keras dan terdapat tukul besi dipercayai digunakan untuk memecahkan simen di dalam beg yang telah mengeras.
18. Pengendalian bahan kimia secara tidak selamat
Terdapat beberapa tin cat dan bahan kimia termasuk thinner didapati terdedah tanpa ditutup dan tidak dilabelkan.
19. Cubaan intimidasi dan rasuah
Pemilik projek telah datang bersama-sama dua orang samseng bagi mengugut serta cuba memberikan rasuah kepada pihak berkuasa. Pegawai imigresen telah menelefon polis dan pemilik projek bersama beberapa orang samseng telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah.
20. Sijil jentera tamat tempoh
Sebuah kren jengkaut didapati beroperasi dengan PMA yang telah lama luput tempohnya.
Tindakan Serta-merta Diambil
Projek tu kena tutup serta-merta sebab langgar macam-macam undang-undang. Ramai pekerja ‘kosong’ (tak ada dokumen) kena angkut dengan Imigresen, sekarang ni tuan projek, kontraktor utama, dengan subcon semua pening kepala sebab kena hadap tindakan undang-undang, silap-silap kena denda kaw-kaw atau masuk penjara.
Pengajaran
Banyak kontraktor yang tahu membina bangunan tetapi tidak menjaga aspek keselamatan, kesihatan pekerjaan, kebajikan pekerja dan pengurusan alam sekitar, mereka hanya pentingkan keuntungan sehingga menyebabkan mereka sengaja mengabaikan undang-undang. Wallahua’lam
