Tanpa pengurusan risiko, maka tidak akan lengkaplah mana-mana sistem pengurusan keselamatan, kesihatan pekerjaan dan alam sekitar yang dijalankan di sebuah organisasi.
Setiap organisasi, tanpa mengira saiz atau industri, wajib menguruskan risiko secara sistematik bagi memastikan warga kerja, proses, dan harta bendanya sentiasa dilindungi.

Apa Yang Perlu diketahui tentang Pengurusan Risiko?
Perkara utama yang perlu diketahui terlebih dahulu ialah risiko di tempat kerja anda dan kawalan risiko yang diperlukan. Risiko adalah sebahagian daripada operasi kerja. Ianya tidak boleh dipisahkan daripada semua jenis perancangan, sistem, proses dan aktiviti di tempat kerja.
Kesalahan utama kita ialah menjadikan misi kita untuk menghapuskan semua jenis risiko dan bukan mengurangkannya. Sasaran untuk mengapuskan kesemua jenis risiko perlu dibuang sekarang juga! Apa yang perlu diketahui ialah risiko-risiko yang utama dan bagaimana menguruskannya dengan rasa komited dan tidak terbeban. Rasa terbeban ini adalah disebabkan kita mengenalpasti risiko yang tidak mungkin berlaku di tempat kerja kita.
Inilah faedahnya apabila kita muaturun format atau templat dari internet dan budaya ‘salin dan tampal’ (copy & paste) ini akan menjadikan sistem kita juga menjadi sistem ‘copy and paste’.
Penilaian risiko perlu ditumpukan hanya kepada tempat kerja anda dan mengenalpasti risiko yang berbentuk realistik sesuai dengan tempat kerja. Setiap risiko perlu mampu menjawab
persoalan-persoalan berikut :
- Apakah tahap keseriusannya?
Contohnya, adakah tahap itu akan menyebabkan seseorang itu luka atau kerugian masa kerana ketiadaan pekerja kerana cuti sakit? - Apakah impaknya? Apakah kebarangkaliannya?
- Selain cara yang biasa mengawal risiko, terdapatkan cara-cara alternatif yang lain? (Pelan ‘B’)
Bukan semua risiko akan dapat dikenalpasti. Sesetengahnya berlaku tanpa disedari contohnya kebarangkalian tergelincir di lantai yang basah semasa di kawasan pejabat dan bukannya di tempat kerja.
Masalah aktiviti pengenalpastian lebih tertumpu kepada aspekaspek tipikal sahaja dan tidak menumpukan kepada elemen kejutan (elements of surprise). Kebanyakan kaedah yang digunakan hanyalah mengenalpasti risiko-risiko yang umum sahaja umpamanya pekerja yang bekerja di bahagian bumbung samada kerja mencuci, menyelenggara atau membaiki.
Di sinilah pentingnya mengenalpasti risiko-risiko secara menyeluruh tetapi tertumpu kepada jenis aktiviti yang dijalankan termasuk persekitarannya termasuk di kawasan pejabat.
Maka setiap risiko walaupun kecil mestilah dikenalpasti secara proaktif dan langkah pencegahan/mitigasi amatlah perlu. Kerana di sinilah akan lahirnya jadual kerja yang berkesan dan papan tanda atau papan notis yang jelas dan lain-lain tindakan yang akan melicinkan perancangan.
Memilih Jalan Penyelesaian Yang Paling Praktikal
Ada banyak cara untuk mengawal risiko yang dikenalpasti dan diutamakan. Jangan sekali-kali cuba menyelesaikan yang mudah dan yang murah dahulu kerana ini berpotensi pengabaian risiko yang lebih besar.
Jadi, caranya ialah mengutamakan risiko yang lebih besar kerana setiap risiko besar akan terkandung risiko-risiko kecil. Contohnya, jika risiko yang dikenalpasti adalah kebocoran paip gas. Pencegahannya bukanlah menampal tempat yang bocor tetapi mengenalpasti bahan yang digunakan dari segi ketahanan dan jaminan pengeluar.
Tindakan ini akan mencetus pula cara pemilihan pengeluar, latarbelakang pengeluar, ujian dan pemeriksaan, sijil makmal atau keputusan ujian yang bertauliah, demonstrasi, simulasi dan latihan/induksi dan sebagainya.
Setiap penyelesaian perlu dilihat dari segi penjimatan wang dan peningkatan keuntungan dalam tempoh jangka panjang. Maka perbelanjaan untuk mencari penyelesaian adalah satu pelaburan (investment) yang berbaloi dan bukannya suatu tanggungan
(liability).
Mulakan pengendalian risiko dengan cara yang terbaik dan paling berkesan iaitu dengan mengambil langkah-langkah praktikal berikut :
- Kurangkan risiko dengan membaiki kaedah kerja. Contohnya, seseorang itu bekerja secara stereotaip iaitu memasang batu-bata untuk tempoh yang agak lama, maka cari jalan memberikan mereka kerja-kerja yang lain pula contohnya menyelia campuran konkrit dan pasir.
- Kurangkan risiko dengan membaiki jadual kerja. Contohnya, jika seseorang itu bekerja terlalu lama dan hanya tertumpu kepada satu kerja sahaja, maka perlu ada pekerja yang lain untuk menggantikannya. Ini tidak semestinya berlaku secara syif tetapi boleh diperbaiki dengan memastikan tempoh bekerja mungkin “Setiap 5 jam, maka pekerja lain perlu menggantikannya atau menukar tugasnya dengan rakannya”.
- Kurangkan risiko dengan mengasingkan risiko. Contohnya memastikan terdapat pengadang (barrier) atau papan tanda yang mencukupi antara kawasan awam dan kawasan kerja. Atau meletakkan pengawal pada stor bahan kimia berbahaya. Atau menggunakan paip untuk mengepam kimia berbahaya dan tidak mengangkat atau menuangnya secara manual.
- Kurangkan risiko menerusi induksi dan mesyuarat peralatan (tool-box meeting). Pastikan pekerja memahami risiko kerja menerusi bahasa yang mudah, ringkas dan difahami. Gunakan terjemahan atau isyarat atau lakaran jika perlu. Jangan sekali-kali menggunakan pendekatan teknikal kerana ini akan menimbulkan kekeliruan. Pastikan pekerja memahami dan menandatangani kehadiran mereka di sesi induksi atau mesyuarat peralatan.
- Kurangkan risiko dengan mengklasifikasikan pekerja. Asingkan pekerja mengikut kemahiran dan pengalaman. Gunakan pelekat pada topi keselamatan atau warna pakaian seragam yang berbeza untuk mengenal pasti pekerja mahir atau pekerja baharu.
- Kurangkan risiko dengan sentiasa mengawalnya. Meletakkan kawalan yang betul mengikut jenis dan tempat kerja sangatlah penting bagi memastikan kawalan risiko mempunyai satu kesinambungan. Pastikan semua kakitangan dan pekerja tahu kerja masing-masing. Pastikan juga semua kakitangan dan pekerja tahu wujudnya satu pernyataan dasar keselamatan, kesihatan dan alam sekitar syarikat dengan memaparkannya di semua tempat kerja serta dialihbahasa jika perlu.
- Kurangkan risiko dengan sifat mesra-pekerja. Penyelia perlu memastikan semua pekerja dan kakitangan dapat merujuk kepadanya apabila terdapat masalah. Penyelia perlu sentiasa bersedia untuk membantu mereka dengan menunjukajar tatacara kerja yang selamat. Penyelia perlu ada kesabaran yang tinggi dan bersopan kerana sifat-sifat ini adalah sifat kepimpinan yang akan membuatkan pekerja dan kakitangan termasuk rakan sekerja menghormatinya tanpa dipaksa.
- Kurangkan risiko dengan menjalankan pemeriksaan dan penilaian. Pastikan pemeriksaan dan penilaian dijalankan mengikut tempoh tertentu. Contohnya setiap 3 bulan. Ini kerana kadangkala terdapat risiko yang terlepas pandang. Aktiviti pemeriksaan dan penilaian risiko amat penting untuk penambaikan contohnya menyemak kembali rekod pengenalpastian risiko di peringkat awal dan menambahkan risiko baru jika perlu.
Semak dan Tambahbaik Sistem
Semak semula sistem setiap 1-2 tahun dan lakukan penambaikan. Pastikan kita bertanya soalan seperti berikut sebelum aktiviti penambahbaikan :
- Adakah penambahbaikan diperlukan?
- Kenapa perlu buat penambahbaikan?
- Apakah pengajaran dari sesuatu kejadian?
- Bagaimana mengurangkannya?
Pengajaran
INGATLAH ! Banyak perkara akan berubah dari pelbagai aspek seperti :
- Manusia bosan diingatkan peraturan yang sama setiap hari.
- Teknologi akan berubah menggantikan teknologi lama.
- Penyiasatan mencari sebab tunjang (rootcause) kepada sesuatu insiden lebih penting dari menuding jari.
- Manusia akan mencari jalan pintas bila dia bosan.
- Jika pekerja tidak hadir bekerja tanpa notis, perlu mencari rakan sekerjanya untuk memastikan kenapa berlaku sedemikian kerana ini lebih penting dari menghukum pekerja.
- Keperluan penyelenggaraan bukan sahaja pada mesin tetapi juga sistem.
- Manusia mudah lupa pada latihan yang pernah disertainya.
- Kerosakan pada jentera dan mesin.
Pengurusan risiko yang berkesan bukanlah tentang kesempurnaan, tetapi tentang pembelajaran berterusan, penambahbaikan, dan keprihatinan terhadap insan yang menjayakan sistem tersebut.
